Wednesday 11 January 2012

Pejuang atau Pengganas?

Assalamualaikum serta salam 1Malaysia.
Lagi-lagi pasal Bebas Anwar 901. Hari ni Black nak kongsi sedikit dengan anda tentang perhimpunan Bebas Anwar 901 di perkarangan Mahkamah Majistret Jalan Duta yang di anggotai pakatan pembangkang pada 9 Januari lalu.   

Kali ni Black nak kongsi tentang attitude beberapa orang ‘Muslimat PAS’ yang berkumpul di perhimpunan tersebut setelah selesainya perbicaraan kes liwat Anwar baru-baru ni. 


Apa komen ANDA?

“Meskipun bertudung labuh dengan sebahagian besar daripada mereka berjubah, muslimat Pas itu mempertontonkan gelagat yang cukup memalukan sewaktu menunggu keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.”

“Dengan dipimpin oleh seorang ketua yang memegang pembesar suara, muslimat Pas itu menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka.”

“Lebih memalukan, muslimat Pas itu seolah-olah lupa diri sehingga sanggup mengeluarkan perkataan ‘UMNO mampus’ malah ada kalangan mereka yang gagal menjaga aurat dengan selamba bersalaman dengan lelaki bukan muhrim.”

“Apa yang menjadi persoalan apabila kumpulan muslimat PAS itu turut disertai Ketuanya, Siti Zailah Mohd. Yusof yang bukan setakat tidak melarang gelagat tidak senonoh pengikutnya, malah kelihatan gembira dan bersama-sama meraikannya.”

“Jika dulu Pas sering mengutuk Wanita serta Puteri UMNO kerana tidak berakhlak dan bebas bersalaman dengan bukan muhrim. Adakah itu berakhlak?”
                                                                     #petikan daripada akhbar Utusan Malaysia 11 Januari, 2012


Black: La Civilizar
Sudut Pandang

Wajarkah parti yang memperjuangkan Islam berperwatakan sedemikian? Mereka seharusnya lebih memikirkan apa yang mereka perjuangkan bukan menjadi ‘anjing kurap’ Anwar Ibrahim yang lebih mengutamakan kuasa dan kedudukan. Inikah perjuangan Islam PAS sebenar? Dari sekarang pun kita dapat ramal jika pakatan pembangkang menguasai pentadbiran negara.

Bagi Black, mereka tidak menunjukkan Islam sebagai agama yang mementingkan keamanan dan keharmonian. Sebaliknya, mereka lebih memburukkan lagi imej Islam dengan memperlihatkan bahawa Islam adalah agama pengganas. Inilah yang mahu dilihat oleh Yahudi. Apabila satu dunia melihat watak Muslim seperti ini, sudah tentu mereka akan mudah melabel Islam adalah agama yang memperjuangkan keganasan.

Dalam episod ini, Black lihat bahawa PAS hanyalah bermanifesto atas dasar Islam sahaja. Tetapi mereka sendiri sebenarnya tidak mengerti hakikat perjuangan Islam yang sebenar. Mereka hanya menjadi
‘anak ayam’ PKR.

Cuba ANDA bayangkan jika pakatan pembangkang menguasai pentadbiran negara. Sekarang pun kita sudah lihat bagaimana mereka memperjuangkan hak mereka. Mereka hanya tahu berdemonstrasi! mengkritik! memprotes! membuat kehancuran! Itu sahaja yang mereka tahu. Mereka memperjuangkan pemimpin mereka bukannya hak mereka. Jika diperhatikan, pakatan pembangkang lebih mengutamakan nasib pemimpin mereka berbanding nasib mereka sendiri (rakyat). Pada hakikat sebenar, pemimpin mereka (Anwar) tidak langsung berbicara tentang nasib penyokong mereka namun beliau lebih mementingkan nasib dirinya sendiri. Hal ini dapat dibuktikan dengan sikap dan kata-kata Anwar yang hanya terdesak inginkan jawatan Perdana Menteri. Sikap mereka ini boleh juga di tafsirkan bagai ‘menang sorak, kampung tergadai’.

Justeru, tidak mustahil jika pembangkang dapat menguasai pentadbiran negara, hal yang lebih teruk lagi akan berlaku. Keganasan di sana sini. Kemusnahan tidak dapat dihitung lagi. Sistem pentadbiran negara tidak seharusnya jatuh ke tangan pihak yang berhaluan kiri.


NASIB NEGARA ADALAH APA YANG ANDA FIKIRKAN!!!


                                                                                                                               

 


Monday 9 January 2012

Meniti Detik PRU-13

Hari ini Black telah terbaca Akhbar Utusan Malaysia 9 Januari, 2012. Jika dilihat memang keseluruhan muka depan akhbar di seluruh Malaysia hari tidak lain tidak bukan adalah tentang Pemecatan Dato’ Dr. Hasan Ali, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor dalam parti PAS. Pemecatan beliau daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta dalam persidangan parti berkenaan.

Petikan kata² Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,
“keputusan tersebut dibuat setelah mempertimbangkan semua pandangan daripada ahli jawatankuasa pada mesyuarat parti berkenaan hari ini.”

“Setelah berbincang, kami sebulat suara membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat Hasan sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta.”

“Keputusan tersebut dibuat berdasarkan tindakan-tindakan beliau yang menyalahi dan merugikan kepentingan Pas seperti yang terkandung dalam perlembagaan parti.”

Menurut akhbar, Datuk Dr. Hasan Ali dipecat daripada parti Pas tersebut adalah ekoran beliau telah mengkritik Anwar Ibrahim serta menolak perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 dan menyifatkannya sebagai perbuatan sia-sia serta memberi kesan tidak baik terutamanya kepada golongan muda.

Petikan kata² Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali,

“Saya sudah ramal dan ramalan saya tepat. Tidak terkejut. Justeru, tawaran kita untuk beliau menyertai Perkasa masih terbuka. Dia (Hasan) nak jawatan Presiden pun tidak mengapa.”

Kalau kita perhatikan, sememangnya Anwar Ibrahim sangat terdesak untuk mendapatkan jawatan Perdana Menteri. Beliau juga sangat yakin parti pakatan pembangkang akan memenangi Pilihanraya Umum (PRU-13) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Namun beliau juga telah merancang jika beliau didapati bersalah dalam kes liwat yang akan dibicarakan hari ini, dan akan dikenakan hukuman, beliau telah mencadangkan Timbalan Presidennya , Azmin Ali dilantik memegang jawatan Perdana Menteri sementara sehingga selesai kes perbicaraannya.

Petikan kata² Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor,
“….bagi mereka yang waras, apa yang dilakukan ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan hanya membayangkan sikap terdesak dan gila kuasa beliau untuk menjadi Perdana Menteri”.

Petikan kata² Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Ibrahim Ali,
 HADI, KU LI, USAH BERMIMPI – Utusan Malaysia, 9 Januari 2012

“Sebab itu dia(Anwar) letak Azmin selaku Timbalan Presiden PKR. Kemudian Azmin akan ‘bersihkan’
Anwar dan berpindah ke Kementerian Dalam Negeri untuk meneruskan ‘program balas dendam’.
Memang ada ura-ura mereka pujuk Ku Li tetapi Anwar tak setuju. Anwar tak percaya sesiapa kecuali Azmin.”

“PAS tak payah mimpi. Paling tinggi pun (dapat) Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau Menteri Kebajikan sahaja. Pas ibarat ‘menang sorak kampung tergadai’. Sekarang pun kita dah nampak."

“Apa pun, kita berdoa semoga dijauhkan Allah s.w.t, Anwar jadi Perdana Menteri.”  


DAP sokong penuh Anwar jadi PM - Utusan Malaysia, 9 Januari 2012

Petikan kata² Karpal Singh, Pengerusi Kebangsaan DAP,

“DAP berpendirian tidak memerlukan perdana menteri alternatif kerana saya percaya Anwar akan menjadi Perdana Menteri sebenar.”


Black: La Civilizar
Sudut Pandang

Apa yang bermain di benak Black sekarang ni ialah di mana maruah sebenar PAS?  PAS seolah-olah boleh diibaratkan bagai “anak ayam” PKR. Dimanakah perjuangan Islam Pas sebenar? Berhubung dengan tindakan Pas yang telah menggugurkan Datuk Dr. Hasan Ali daripada parti tersebut telah membuktikan Pas bagaikan “pak turut” PKR. Sebelum ini ada juga berita tentang Datuk Hasan Ali yang telah mengkritik Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat tetapi tiada pula dikenakan tindakan susulan oleh parti tersebut. Namun, setelah Datuk Hasan Ali mengkritik Anwar serta menolak perhimpunan Bebas Anwar 901, beliau telah digugurkan jawatannya dalam Pas dengan berkuat kuasa serta-merta. Hal ini jelas menunjukkan pengaruh Anwar Ibrahim terhadap Pas sangat kukuh dan kuat sehinggakan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengannya maka akan terimalah padahnya.

Apa yang amat merisaukan dan sentiasa mengganggu fikiran Black ialah jika pakatan pembangkang memenangi PRU-13 nanti, jika seperti yang direncanakan Anwar bahawa Azmin Ali akan dilantik sebagai Perdana Menteri sementara. Sebenarnya, ramai diantara ahli penyokong serta orang dalaman PKR sendiri amat tidak senang dengan Azmin Ali kerana hubungan yang terlalu baiknya dengan Anwar.

Di sini, Black ingin membuat kesimpulan bahawa Azmin Ali mungkin hanya ingin mengambil kesempatan terhadap hubungan baiknya dengan Anwar. Beliau juga inginkan kepercayaan Anwar sehingga dapat diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan perdana menteri sementara. Black risau sekiranya Azmin Ali mendapat jawatan tersebut, beliau akan menarik ramai penyokongnya dan serta-merta mengheret Anwar ke dalam kemelut lain.

Jika anda ingin tahu, Azmin Ali jugalah yang memberi cadangan untuk menggugurkan Datuk Hasan Ali dalam PAS. Lantas, cadangan itu dipertimbangkan oleh ahli lain termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Hal ini sekali lagi jelas menunjukkan bahawa PAS hanyalah tidak ubah seperti ‘anak ayam’ PKR.

Kita semua mestilah sedar dalam hakikat ini bahawa PKR hanyalah ingin memperalatkan PAS dan DAP sahaja. Sebaliknya, PAS tidak menyedari hakikat ini dan mengharapkan PKR dapat memperjuangkan Negara Islam bersama mereka.

Bagi pengundi² Negara, Black nasihatkan supaya anda semua tidak mudah terpedaya dan tidak mudah terjebak ke dalam kancah politik yang berhaluan kiri. Black tahu bahawa anda semua inginkan PAS, dan merupakan penyokong kuat Tuan Guru Nik Aziz.

Namun, FIKIRLAH. PAS adalah sebahagian daripada pakatan pembangkang. Jika 1 undi untuk PAS, maka 1 undi juga secara tidak langsung adalah untuk pakatan pembangkang. Sekiranya pakatan pembangkang memenangi PRU-13 nanti, sekarang pun kita sudah tahu siapa yang akan menjadi perdana menteri.
DAN sekiranya apa yang direncanakan oleh Anwar Ibrahim serta apa yang difikirkan Black sekarang adalah satu ramalan yang akan mengukir kebenaran, justeru anda boleh bayangkan apakah nasib Negara selepas PRU-13 nanti.


ANDA ADALAH PENENTU MASA DEPAN NEGARA!!!

FIKIR-FIKIR DAN RENUNG-RENUNGKANLAH!!!

   

   


Friday 6 January 2012

Gelodak Jiwa Remaja!



Woi, orang muda!
Sudahlah!
Woi, orang muda!
Cukuplah!
Woi, orang muda!
Berhentilah!
Kau ingat kau siapa?
Pembela Bangsa? Pejuang Negara?
Tolonglah!
Kau tak ubah macam kambing hitam!
Apa yang kau nak sebenarnya?
Kebebasan?
Penderitaan? Atau Keganasan?
Kau nak jadi pengganas ke?
Kau tak ingat kau senang dengan siapa?
Siapa yang tolong kau?
Jangan buat muka tak malu!
Kau nak jadi pengkhianat?
Ohh! Mestilah kau nak jadi hero kan?
“PENYELAMAT BANGSA!”
Jangan jadi dangkal!
Kau ingat kau sentiasa betul?
Buka minda kau, anak muda!
Kau berpendidikan tinggi!
Bangunlah anak muda!
Bangunlah!
Jangan conteng arang di muka sendiri!
Bersyukurlah dengan nikmat yang diberi!
Kita pemacu masa depan negara!
Bukan perosak bangsa!
Jangan biarkan dirimu dimanipulasi!
Ingat anak muda!
Kita adalah Pencatur!
Bukan membiarkan diri kita dicatur!
                                                                                               
                                          Karya asal:
                                     Black Iskandar                              
                                       


Saturday 12 November 2011

Rancangan Penubuhan Malayan Union (1946)


Sebab² Orang Melayu Menentang Malayan Union

Faktor penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah kerana penubuhan Malayan Union akan menggugat kuasa Raja² Melayu. Raja² Melayu hanya menjadi ahli Majlis Raja² Melayu tanpa sebarang kuasa. Walaupun soal agama Islam di bawah kuasa ahli Majlis Raja² Melayu tetapi pungutan zakat fitrah dipungut di bawah kuasa Gabenor Malayan Union. Oleh itu, orang Melayu bimbang agama Islam akan tercabar. Tindakan Sir Harold MacMichael juga telah menaikkan kemarahan orang Melayu kerana telah mengugut akan menurunkan takhta Raja² Melayu sekiranya tidak menandatangani penubuhan Malayan Union. Tambahan pula, British juga tidak memberikan ruang masa yang cukup kepada Raja² Melayu untuk mempertimbangkan hal tersebut.  Selain itu, kerakyatan yang longgar kepada orang luar turut melahirkan perasaan tidak puas hati orang Melayu. Hal ini akan mencabar status quo orang Melayu sebagai penduduk peribumi. Di bawah pemerintahan Malayan Union kelak, hak-hak keistimewaan orang Melayu, seperti peruntukan tanah simpanan Melayu (Malay Reserve Land) dan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan, yang biasanya disandang oleh orang Melayu, akan dihakis. Sehubungan dengan itu, penguasaan terhadap ekonomi & pendidikan orang dagang juga mungkin akan memundurkan orang Melayu. Orang melayu terpaksa akan bertanding sama rata dengan bangsa-bangsa pendatang untuk merebut segala kemudahan dan peluang dalam semua bidang perusahaan, perniagaan dan pekerjaan. Mereka menganggap rancangan British itu adalah cabaran yang menyinggung maruah, martabat dan kedaulatan Bangsa dan Negeri Melayu. Pemimpin-pemimpin Melayu sedar akan kelemahan Bangsanya. Di bawah Kerajaan Malayan Union nanti, kedudukan orang Melayu akan menjadi lebih buruk lagi jika dipaksa bertanding sama rata dengan bangsa-bangsa pendatang. Pemimpin-pemimpin Melayu sedar bahawa orang Melayu telah jauh ketinggalan dalam semua bidang perusahaan dan pelajaran. Orang melayu akan pupus dan akan ditenggelamkan oleh kaum-kaum pendatang, seperti apa yang terjadi kepada kaum 'Red Indian' di Amerika Syarikat. Di samping itu, orang Melayu juga bimbang akan kehilangan warisan tamadun kerajaan Melayu seperti Warisan Kesultanan Melayu Melaka. Tamadun Melayu, yang telah dibina sebegitu lama dengan corak pemerintahan beraja, serta kedudukan Bahasa Melayu akan tergugat. Gabenor Malayan Union akan diberi kuasa mutlak untuk memerintah dan mentadbir Tanah Melayu, termasuk mempengerusikan Jawatankuasa Islam dan Adat Resam Melayu. Orang Melayu juga berpendapat bahawa keadaan selepas Perang Dunia II tidak sesuai bagi British untuk membuat pembaharuan politik. 



 
Tindakan Orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union

Orang Melayu telah membuat pelbagai tindakan untuk menentang rancangan penubuhan Malayan Union antaranya orang Melayu telah mengadakan demonstrasi secara besar-besaran. Hal ini dapat dilihat apabila seramai 10,000 orang di Kota Bharu & 50,000 orang di Kedah telah berarak menentang Malayan Union pada Januari 1946. Orang Melayu juga telah menyuarakan bantahan berterusan serta menggesa semua orang Melayu untuk bersatu padu menentang Malayan Union melalui akhbar² Melayu seperti Utusan Melayu, Majlis & Warta Negara. Orang Melayu juga telah bertindak menghantar telegram & surat bantahan ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Dato’ Onn Ja’afar, pada ketika itu sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat, menyambut seruan umum supaya orang Melayu bersatu. Beliau mengirim sepucuk surat kepada Utusan Malaysia bertarikh 23 Januari 1946, memohon untuk disiarkan bagi mengajak pemimpin-pemimpin Melayu di seluruh negara berhimpun mengadakan suatu Kongres untuk membincangkan perkara penubuhan Malayan Union serta memikirkan tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membanteras rancangan British itu. Dato' Onn telah mengesyorkan satu Pertubuhan Kebangsaan yang dinamakan Pertubuhan Melayu Bersatu atau United Malays Organisation (UMO) kemudian dinamakan UMNO/Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, untuk menjadi pertubuhan induk mewakili keseluruhan kaum Melayu. Beliau mengajak semua persatuan, pergerakan dan kesatuan Melayu di Semenanjung dan Singapura menghantar wakil-wakil mereka ke Kongres itu. Pada mulanya, Dato' nn mencadangkan Kongres diadakan di Melaka, mengambil sempena semangat 'Hulubalang Melayu, Tun Tuah' dengan tujuan membangkitkan semangat juang orang Melayu. Tetapi cadangan Dato' Onn itu terpaksa dipinda kerana pertubuhan dan Persatuan Melayu Negeri Melaka tidak mempunyai kemudahan untuk menjadi tuan rumah. Dengan kerjsama Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Encik Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba) dan Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor yang diketuai oleh Dato' Hamzah bin Abdullah, serta dengan bantuan kewangan dikurniakan oleh DYMM Sultan Hishamudin Alam Shah, Selangor  maka persidangan Kongres diputuskan untuk dilangsungkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, dari 1 hingga 4 Mac 1946. Orang Melayu juga telah mengadakan rapat umum untuk menunjukkan bantahan kepada ahli Parlimen British.
 

Pengaruh Islam di Malaysia dalam Pendidikan


Pendidikan Tidak Formal

Pendidikan tidak formal merupakan pendidikan awal atau asuhan yang berlaku dalam institusi keluarga.
Pendidikan ini bermula daripada peringkat keluarga & penekanannya terhadap nilai² moral & pembelajaran melalui pendengaran, penglihatan & pemerhatian. Kanak² mempelajari kemahiran daripada ibu bapa menerusi pemerhatian & latihan. Sebagai contoh, kemahiran dalam bidang pertanian, pertukangan & perikanan adalah merupakan pembelajaran melalui pemerhatian & latihan. Sehubungan dengan itu, anak² juga diasuh tentang hal² berhubung dengan unsur keagamaan. Hal ini dapat dilihat apabila ibu bapa sering menerapkan nilai² moral dalam kehidupan anak² seperti kelakuan, adat resam, sikap bersopan santun, cara berkawan & menjaga maruah. Nilai² murni juga diserapkan dalam pendidikan tidak formal iaitu melalui kaedah cerita² lisan seperti cerita binatang & jenaka. Pendidikan melalui kaedah bercerita ini lebih digemari kanak² kerana dalam teknik penceritaannya, cerita² lisan ini lebih mempunyai unsur pengajaran & merupakan aspek penting bagi kanak² untuk mengenal sebuah kehidupan. Melalui kaedah ini juga kanak² akan lebih berfikir & diasuh melalui nilai² murni dalam cerita tersebut. Di samping itu, kanak² juga turut mempelajari adat istiadat serta pantang larang dalam pergaulan sosial. Pendidikan ini juga diberikan menerusi pantun, peribahasa & teka-teki. Hal ini akan mengajar kanak² untuk berfikir tentang keburukan & kebaikan apabila untuk melakukan sesuatu dalam kehidupan seharian. Justeru, apabila pendidikan sebegini telah bermula seawal usia kanak² lagi, maka pendidikan ini akan terus sebati dalam diri kanak² sehingga dewasa kerana amalan yang diamalkan menerusi pendidikan ini berterusan.




Pendidikan Formal

Pendidikan formal merupakan pendidikan yang berkaitan dengan keagamaan secara langsung atau melalui perantaraan institusi tertentu. Pendidikan ini bermula sejak sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu lagi. Oleh itu, pendidikan ini berasaskan tradisi Hindu-Buddha. Pusat pendidikan formal pada masa itu ialah istana. Oleh hal yang demikian, pendidikan ini hanya diberikan kepada golongan istana & golongan atasan sahaja. Pendidikan ini diberikan oleh golongan pendeta atau guru yang ditugaskan khas untuk memberi pengajaran kepada pemerintah & pembesar kerajaan. Selepas kedatangan Islam, pendidikan formal telah berubah & pembelajarannya tidak terhad kepada golongan atasan sahaja. Semua golongan turut terlibat. Impaknya, institusi pengajian telah berkembang & telah menjadikan masjid, rumah, surau, madrasah serta pondok sebagai tempat pengajian pendidikan. Pendidikan di rumah memberi penekanan kepada pengajaran al-Quran. Pengajian ini biasanya dilakukan di rumah guru al-Quran yang dikenali sebagai tok guru. Murid²nya terdiri daripada kanak² yang berumur antara 7 hingga 15 tahun. Istana juga turut kekal & terus berkembang sebagai tempat pendidikan. Hal ini dapat dibuktikan apabila ramai pemerintah khususnya di Negeri Melaka telah menerima pendidikan daripada ulama² dari Semenanjung Tanah Arab di istana.