Saturday 12 November 2011

Rancangan Penubuhan Malayan Union (1946)


Sebab² Orang Melayu Menentang Malayan Union

Faktor penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah kerana penubuhan Malayan Union akan menggugat kuasa Raja² Melayu. Raja² Melayu hanya menjadi ahli Majlis Raja² Melayu tanpa sebarang kuasa. Walaupun soal agama Islam di bawah kuasa ahli Majlis Raja² Melayu tetapi pungutan zakat fitrah dipungut di bawah kuasa Gabenor Malayan Union. Oleh itu, orang Melayu bimbang agama Islam akan tercabar. Tindakan Sir Harold MacMichael juga telah menaikkan kemarahan orang Melayu kerana telah mengugut akan menurunkan takhta Raja² Melayu sekiranya tidak menandatangani penubuhan Malayan Union. Tambahan pula, British juga tidak memberikan ruang masa yang cukup kepada Raja² Melayu untuk mempertimbangkan hal tersebut.  Selain itu, kerakyatan yang longgar kepada orang luar turut melahirkan perasaan tidak puas hati orang Melayu. Hal ini akan mencabar status quo orang Melayu sebagai penduduk peribumi. Di bawah pemerintahan Malayan Union kelak, hak-hak keistimewaan orang Melayu, seperti peruntukan tanah simpanan Melayu (Malay Reserve Land) dan jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan, yang biasanya disandang oleh orang Melayu, akan dihakis. Sehubungan dengan itu, penguasaan terhadap ekonomi & pendidikan orang dagang juga mungkin akan memundurkan orang Melayu. Orang melayu terpaksa akan bertanding sama rata dengan bangsa-bangsa pendatang untuk merebut segala kemudahan dan peluang dalam semua bidang perusahaan, perniagaan dan pekerjaan. Mereka menganggap rancangan British itu adalah cabaran yang menyinggung maruah, martabat dan kedaulatan Bangsa dan Negeri Melayu. Pemimpin-pemimpin Melayu sedar akan kelemahan Bangsanya. Di bawah Kerajaan Malayan Union nanti, kedudukan orang Melayu akan menjadi lebih buruk lagi jika dipaksa bertanding sama rata dengan bangsa-bangsa pendatang. Pemimpin-pemimpin Melayu sedar bahawa orang Melayu telah jauh ketinggalan dalam semua bidang perusahaan dan pelajaran. Orang melayu akan pupus dan akan ditenggelamkan oleh kaum-kaum pendatang, seperti apa yang terjadi kepada kaum 'Red Indian' di Amerika Syarikat. Di samping itu, orang Melayu juga bimbang akan kehilangan warisan tamadun kerajaan Melayu seperti Warisan Kesultanan Melayu Melaka. Tamadun Melayu, yang telah dibina sebegitu lama dengan corak pemerintahan beraja, serta kedudukan Bahasa Melayu akan tergugat. Gabenor Malayan Union akan diberi kuasa mutlak untuk memerintah dan mentadbir Tanah Melayu, termasuk mempengerusikan Jawatankuasa Islam dan Adat Resam Melayu. Orang Melayu juga berpendapat bahawa keadaan selepas Perang Dunia II tidak sesuai bagi British untuk membuat pembaharuan politik. 



 
Tindakan Orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union

Orang Melayu telah membuat pelbagai tindakan untuk menentang rancangan penubuhan Malayan Union antaranya orang Melayu telah mengadakan demonstrasi secara besar-besaran. Hal ini dapat dilihat apabila seramai 10,000 orang di Kota Bharu & 50,000 orang di Kedah telah berarak menentang Malayan Union pada Januari 1946. Orang Melayu juga telah menyuarakan bantahan berterusan serta menggesa semua orang Melayu untuk bersatu padu menentang Malayan Union melalui akhbar² Melayu seperti Utusan Melayu, Majlis & Warta Negara. Orang Melayu juga telah bertindak menghantar telegram & surat bantahan ke Pejabat Tanah Jajahan di London. Dato’ Onn Ja’afar, pada ketika itu sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat, menyambut seruan umum supaya orang Melayu bersatu. Beliau mengirim sepucuk surat kepada Utusan Malaysia bertarikh 23 Januari 1946, memohon untuk disiarkan bagi mengajak pemimpin-pemimpin Melayu di seluruh negara berhimpun mengadakan suatu Kongres untuk membincangkan perkara penubuhan Malayan Union serta memikirkan tindakan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membanteras rancangan British itu. Dato' Onn telah mengesyorkan satu Pertubuhan Kebangsaan yang dinamakan Pertubuhan Melayu Bersatu atau United Malays Organisation (UMO) kemudian dinamakan UMNO/Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, untuk menjadi pertubuhan induk mewakili keseluruhan kaum Melayu. Beliau mengajak semua persatuan, pergerakan dan kesatuan Melayu di Semenanjung dan Singapura menghantar wakil-wakil mereka ke Kongres itu. Pada mulanya, Dato' nn mencadangkan Kongres diadakan di Melaka, mengambil sempena semangat 'Hulubalang Melayu, Tun Tuah' dengan tujuan membangkitkan semangat juang orang Melayu. Tetapi cadangan Dato' Onn itu terpaksa dipinda kerana pertubuhan dan Persatuan Melayu Negeri Melaka tidak mempunyai kemudahan untuk menjadi tuan rumah. Dengan kerjsama Persatuan Melayu Selangor yang dipimpin oleh Encik Zainal Abidin bin Ahmad (Za'ba) dan Pergerakan Kebangsaan Melayu Selangor yang diketuai oleh Dato' Hamzah bin Abdullah, serta dengan bantuan kewangan dikurniakan oleh DYMM Sultan Hishamudin Alam Shah, Selangor  maka persidangan Kongres diputuskan untuk dilangsungkan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, dari 1 hingga 4 Mac 1946. Orang Melayu juga telah mengadakan rapat umum untuk menunjukkan bantahan kepada ahli Parlimen British.
 

No comments:

Post a Comment